Saturday, February 26, 2011

SABAH TEA

         


        Dengan ladang yang terbentang luas, dikelilingi oleh hutan hujan semula jadi dan udara dingin pergunungan,  Ladang Teh Sabah menyambut anda dengan keindahan persekitarannya yang jauh daripada hiruk-pikuk kota. Pemanduan  selama  2 jam dari Bandar raya Kota Kinabalu,  Ladang Teh Sabah megah dengan keindahan latar belakangnya iaitu Gunung Kinabalu.  

           Teh Sabah ialah satu-satunya ladang  teh organik  di Borneo dan salah satu daripada  beberapa ladang seumpamanya di dunia. Lawatan  ke ladang teh merupakan satu pengalaman yang memberikan pengetahuan dan menyeronokkan kerana seseorang akan melalui pelbagai aktiviti riadah  seperti menyeberangi  laluan berhalangan di Kawasan Rekreasi Sapaon, meredah  trek laluan ke Bukit Kamunsu atau meredah malam untuk menyaksikan sendiri kehidupan unik serangga.  Anda disarankan untuk memilih pakej 2 hari 1 malam,  Cabaran Teh Sabah, yang menyelitkan lawatan ke ladang dan kilang teh, kursus asas kemahiran  kemandirian di hutan,  Mengenali sungai dan Kaedah  untuk menyeberangi sungai dengan selamat dan latihan berhalangan.  Pakej ini telah dianugerahi Program Pelancongan Terbaik (Pendidikan) dalam Majlis Anugerah Pelancongan Malaysia di Kuala Lumpur.  

       Pelawat boleh memilih sama ada menginap di rumah panjang tradisional, banglo mewah atau berkhemah di bawah kerdipan bintang malam.  Kemudahan lain yang disediakan termasuklah bilik seminar, restoran, kedai cenderamata, padang bola dan lapangan tenis.  Tidak jauh dari ladang terdapat tempat-tempat menarik untuk dilawati termasuklah Memorial Perang Kundasang, Taman Kinabalu dan Kolam Air Panas Poring untuk menyegarkan diri.  Dapatkan bantuan untuk tunjuk arah daripada  kakitangan yang sentiasa  memberikan kerjasama.   Tidak kira sama ada untuk tujuan niaga atau berseronok, Ladang Teh Sabah menantikan  anda dengan jaminan pengalaman yang mencabar dan sukar untuk dilupakan.  Ingatan :  Tidak lengkap lawatan anda ke Ladang Teh Sabah tanpa menghirup teh Sabah yang terbaik!


* Pelbagai pakej disediakan untuk anda pilih.  Hubungi pihak Ladang Teh Sabah untuk keterangan lanjut.


Lokasi
KM17, Jalan Ranau/Sandakan, Kg. Nalapak,89309, Ranau


Cara ke Sana
Sekiranya anda tidak menyertai mana-mana syarikat pelancongan, anda boleh menaiki bas dari Terminal Bas Bandar raya-Utara dengan tambang sebanyak  RM15.00 seorang (bas berhenti di pekan Ranau).  Anda juga boleh menaiki teksi dari stesen berhampiran Padang Merdeka dengan tambang sebanyak RM160 untuk setiap teksi. Tambang sekitar RM300 akan dikenakan, sekiranya  anda berlepas dari hotel.  Untuk makluman, semua harga  yang dinyatakan adalah untuk tambang sehala. 


Masa Dibuka
Setiap hari 7.00 pagi  – 5.00 petang 
Ditutup pada hari Cuti Umum

* Masa yang paling sesuai untuk lawatan ialah antara 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Yuran Kemasukan
RM5.00 untuk lawatan berpandu ke kilang teh 
RM20.00 untuk lawatan berpandu + makan tengah hari 
Tiada yuran dikenakan untuk tujuan  masuk sahaja.


Hubungi
Tel: +6088-440882
Faks.: +6088-423448